Wednesday, April 29, 2009

SEJARAH SEKOLAH

SMK Senawang telah bertapak sejak 20 tahun yang lalu di tengah-tengah kawasan perumahan di Taman Marida dan berhampiran dengan Kawasan Perindustrian Senawang. Pada tahun 1989, SMK Senawang merupakan salah satu daripada tiga buah sekolah yang baru diwujudkan pada ketika itu. Dua lagi sekolah baru yang dibuka pada ketika itu ialah SMK Mambau dan SMK Tampin. SMK Senawang telah dibuka secara rasminya pada 1 Januari 1989 dengan jumlah murid seramai 122 orang, dan 9 orang pendidik yang diketuai oleh Pn. Hjh. Zaini bt. Omar, selaku Tuan Pengetua.
SMK Senawang, pada mulanya menumpang di SK Senawang sementara menunggu bangunan sekolah yang masih dalam pembinaan. Selepas kira-kira tujuh bulan, siaplah 2 blok bangunan tiga tingkat dan warga SMK Senawang pun berpindah ke kawasan sekolah yang baru. Dari tahun ke tahun, pertumbuhan pesat dalam pembangunan sekolah begitu ketara dengan bertambahnya blok-blok bangunan yang baru. Sejajar dengan keperluan semasa, SMK Senawang telah dilengkapi dengan sebuah makmal ICT, yang mana telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar N. Sembilan pada tahun 2005. Pada awal tahun 2009 ini pula, warga SMK Senawang begitu bertuah sekali kerana Dewan Seri Delima yang tersergam indah dan Bengkel MPV yang terletak di sisi dewan siap dibina. Kami, warga sekolah, merakamkan jutaan terima kasih kepada 7 orang pengetua SMK Senawang yang telah berjaya memacu sekolah menjadi sekolah yang amat dibanggakan dan pesat membangun. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Pengetua Cemerlang kami iaitu Pn. Noryah bt. Hashim yang telah banyak berjasa dalam meningkatkan prasarana sekolah, membangunkan sahsiah warganya, dan memastikan kurikulum dan kokurikulum cemerlang. Terima kasih, Puan.

TAHNIAH, TUAN PENGETUA!

Kami, warga SMK Senawang ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Pengetua, Pn. Noryah bt. Hashim atas kenaikan pangkat beliau sebagai Pengetua Cemerlang DG 54 baru-baru ini. Kami turut berbangga atas kenaikan pangkat beliau dan diharapkan beliau akan terus memimpin dan memacu jentera pentadbiran dan pengurusan sekolah untuk mencapai visi sekolah iaitu SMK Senawang Menjadi Sekolah Harapan N. Sembilan Menjelang Tahun 2010.